Salah satu pepatah yang selalu kedengaran dalam bolasepak adalah kalah menang itu adat permainan. Selalu ia kedengaran, terutamanya apabila pasukan kesayangan anda mengalami kekalahan, sehingga ianya menjadi satu cliché. Namun kadang-kadang pasukan kesayangan anda akan mengalami kekalahan dengan jurang yang begitu sukar diterima akal, dan boleh diistilahkan dalam era siber zaman kini sebagai WTF, tambahan pula ketika pasukan anda sedang menduduki takhta liga. Begitulah yang dihadapi oleh semua penyokong Selangor dalam perlawanan menentang Kelantan pusingan pertama separuh akhir Piala FA 2011 baru-baru ini. Rasanya sudah tercanang ke seluruh Malaysia keputusan perlawanan ini; 5 – 1 yang memihak kepada The Red Warriors. Bagi ulasan kesalahan taktikal, kelemahan persembahan pemain dan pilihan pemain oleh K Devan tidak perlulah diulas disini lagi, anda boleh dapatkannya dari sumber-sumber lain yang lebih pakar dan berpengalaman. Namun apa yang ingin dibincangkan di sini adalah bagaimana untuk menghadapi kekalahan sedemikian rupa, seperti yang dilakukan kami di ultraSel ketika perlawanan 'bersejarah' ini.
Malam itu bermula dengan penuh semangat bagi ultraSel, dan ini biasa bagi mana-mana perlawanan pasukan Selangor menentang Kelantan yang sememangnya musuh ketat dalam era moden bolasepak Malaysia. Kami sudah berada di tempat kami sekitar 7 malam lagi; di Pintu U. Anda yang selalu mengikuti perkembangan kami mungkin tertanya kenapa kami tidak berada di tempat biasa kami; Pintu 15. Ini adalah disebabkan polis dan FAS telah menetapkan bahawa Pintu 15 sebagai sebahagian tempat duduk penyokong Kelantan. Saudara kami dari The Red Mania pula menduduki tempat setentang dengan kami di belakang gol yang satu lagi. Dan penyokong Kelantan membuktikan kefanaktikan mereka dengan memenuhi tempat mereka sejak pukul 8 lagi dan melaung-laungkan laungan keramat mereka “Gomo Kelate Gomo!”. Sementara itu penyokong Selangor pula lambat sedikit menghadirkan diri, walaupun sebelum bermulanya perlawanan tempat duduk yang dikhaskan untuk penyokong Selangor akhirnya penuh.
Dan kami menjalankan usaha-usaha menghangatkan suasana perlawanan dengan melakukan tifo dan choreo yang telah dirancang sejak seminggu sebelum perlawanan lagi. Namun kali ini satu kelainan diadakan, dengan panji-panji merah kuning dikibarkan oleh komrad-komrad ketika chants dinyanyikan. Dan The Red Mania juga tidak mahu kalah dengan kain rentang merah-putih-merah gergasi mereka dan tifo mereka sendiri juga. Bukankah lebih menarik kalau suar juga dapat dinyalakan tanpa campur tangan melampau pihak berkuasa? Suatu hari nanti.
Tifo
Perlawanan akhirnya dimulakan dan kedua-dua pasukan bermula garang namun Kelantan lebih garang dengan menjaringkan gol pertama seawal minit ke 10 melalui jaringan Ramzul Zahini. Nampaknya skrip minit-minit awal perlawanan-perlawanan Selangor menentang Kelantan musim ini jarang bertukar. UltraSel seperti biasa masih bersemangat biarpun Selangor ketinggalan. Namun semangat itu secara jujurnya sukar dikekalkan apabila Ramzul menggandakan jaringan Kelantan pada minit ke 40 dan lagi...
dan lagi...
dan lagi...
Dan akhirnya, kedudukan akhir adalah...
(Kredit foto: Shah Amirul)
Sukar diterima akal. Kekalahan ini menjadikan rekod kemenangan Kelantan ke atas Selangor musim ini sebanyak 100%.
Namun, bukanlah persembahan pemain yang ingin diperkatakan. Sebaliknya adalah 'prestasi' kami ultraSel sebagai penyokong tidak kira menang ataupun kalah. Diakui ketika setiap kali Kelantan mendapat jaringan, semangat kami sedikit goyang; seperti yang terlihat di gambar-gambar komrad-komrad di atas. Hanya dengan menatap gambar-gambar itu pun anda seolah-olah boleh merasakan masin air mata mereka yang sangat kecewa dengan apa yang terjadi. Tetapi apa yang tidak kelihatan dalam gambar-gambar berkenaan adalah reaksi mereka selepas itu. Mereka kembali bernyanyi dan bersorak, mereka kekal di dalam stadium sehingga tamatnya perlawanan seolah-olah kedudukan jaringan masih lagi seri. Dan yang paling penting adalah mereka tidak memaki pemain Selangor dan sama sekali tidak membaling sampah ke tepi padang. Amat dikesali apabila ada penyokong-penyokong yang baru menyertai ultraSel dan mereka yang lalu di tengah-tengah kami dari tempat lain membaling bekas air ke tepi padang. Tindakan mereka mencacatkan nama baik ultraSel yang tekad memberi sokongan tidak kira menang atau kalah dengan cara yang positif. Mereka bernasib baik kerana tidak diapa-apakan oleh komrad-komrad yang berdarah panas kerana sempat dileraikan oleh kami yang tidak mahu adik-beradik satu negeri kami sendiri mendapat kecelekaan dari mana-mana pihak pun. Kalau pasukan Selangor memerlukan pembaling sampah ketika perlawanan, bukankah FAS pasti sudah menggaji pembaling sampah dari dulu lagi?
Penyokong Selangor juga harus malu jika mereka pulang awal selepas Selangor ketinggalan. Bukankah ini pasukan kesayangan anda? Bersama-samalah mereka tidak kira naik ataupun turun. Cuba bayangkan rakan-rakan kita yang hanya rapat apabila kita berduit dan mewah, tetapi buat-buat tak kenal bila kita tidak berduit. Itulah ibaratnya penyokong yang hanya menyokong ketika menang tetapi mengeji apabila prestasi merudum seolah-olah pemain yang dikeji itu pemain pasukan lawan. Pemain-pemain memerlukan anda untuk hadir ke stadium dan menyorak mereka demi menaikkan semangat mereka. Bagi mereka yang hadir ke perlawanan Selangor menentang Perak bulan lepas pada bulan lepas, mungkin ada yang terlihat kelibat Khairul Anuar Baharom yang sentiasa mengangkat kedua-dua tangannya meminta penyokong Selangor meninggikan sorakan. Ini membuktikan bahawa mereka memerlukan sorakan padu semua penyokong. Kehadiran anda ke stadium harus dipuji, tapi ia belum cukup lagi. Kalau anda mampu dari segi tenaga, datang sertai kami ultraSel di Pintu 15 menyanyi dan memberi semangat kepada pemain bersama-sama. Tak perlu malu, kerana kita Selangor sama saja. Dan kalau tidak mempunyai kudrat, paling kurang buatlah bising, bertepuk dan bersorak apabila cubaan dilakukan dan 'boo' sebarang cubaan dari pihak lawan, bukannya hanya membuat bising mengeji apabila pemain Selangor sendiri gagal menyudahkan peluang. Sorakan dan nyanyian kita, digabungkan pula dengan kehadiran stadium yang penuh, mampu memberi semangat kepada psikologi pemain Selangor dan merentap keyakinan pemain pasukan lawan.
Berbalik kepada situasi semasa perlawanan, sudah tentu kami kecewa dan termanggu dengan apa yang terjadi. Dan situasi inilah yang boleh menyebabkan penyokong yang kecewa membaling sampah dan memaki pemain. Di sinilah capo harus bijak memainkan peranan mengalih perhatian komrad dari persembahan pasukan yang buruk dan kekecewaan mereka dengan cara menggembirakan dan mengubat luka di hati dengan menyanyikan lagu-lagu yang boleh disifatkan sebagai 'crowd-pleaser'. Seperti yang dilakukan kami pada malam bersejarah ini apabila perlawanan berbaki sepuluh minit terakhir, lagu 'Manggis' yang sentiasa diminati komrad-komrad kerana liriknya yang nakal dinyanyikan, mosh-pit dibentuk dan baju kami tanggalkan (yang lelaki sahaja, sudah tentu). Sekurang-kurangnya kami sedikit gembira di penghujungnya. Dan di minit-minit akhir perlawanan, Amri Yahyah berjaya mendapatkan gol saguhati Selangor buat bekalan perlawanan kedua nanti. Mungkinkah kerana dia kembali bersemangat dengan kelibat kami yang masih memberi sokongan? Kami di ultraSel hanya mampu membuat spekulasi.
Dan dari segi statistiknya, kali terakhir Selangor diaibkan sebegitu rupa adalah empat tahun lalu, pada tahun 2007 oleh Kedah dengan jaringan 6 – 2. Empat tahun sekali tidaklah begitu teruk bukan? Jadi kebarangkalian untuk Selangor kalah teruk sekali lagi bukanlah di masa yang terdekat. Percayalah, Selangor kita akan memenangi perlawanan-perlawanan Liga Super seterusnya dan kemudiannya menjuarai Liga Super 2011. Pastikan kita semua hadir ke baki perlawanan seterusnya untuk memberi sokongan dengan cara baru. Dan kita masih ada perlawanan pusingan kedua di Kota Bharu nanti, walaupun mengejar kembali lima gol dalam satu perlawanan itu memang sukar dilakukan, banyak perkara yang lebih ajaib pernah berlaku dalam bolasepak.
Bagi kami di ultraSel, kekalahan ini adalah peluang bagi kami membuktikan kesetiaan kami kepada Selangor kesayangan kami dan melihat siapa sebenarnya di antara kami yang betul-betul penyokong dan bukan penonton, dan bukannya menyokong hanya ketika menang. Buktinya? KAMI AKAN BERADA DI KOTA BHARU PADA PERLAWANAN KEDUA nanti, membakar semangat pasukan kami untuk melakukan yang mustahil. Adakah anda berminat ke KB bersama-sama kami untuk memberi sokongan cara baru? Anda boleh lakukannya dengan menghubungi PT di Facebooknya dan PM dia di situ.






8 comments:
lebih kurg macam real madrid kena kitai dgn barcelona 5-0. adat pertandingan, ada menang ada kalah. salam salut dari gua, seorang komrad yang tak pernah bersama ultrasel kerana berada diperantauan, insyaAllah akan bersama anda semua setelah pulang ke tanah air selangor darul ehsan.
barang yg lepas jgn dikenang..^___^
kemon la kemon selangor!
Bro,aku seorang penyokong selangor yg tak join mana2 kumpulan.tapi aku respek dgn semangat yg korang ada..semangat mcm ni yg patut ada dlm semua penyokong selangor.sekali lg tahniah kepada geng ultrasel atas semangat juang tinggi korang.all the best ultrasel!viva selangor
bkn penyokong selangor ja y ptt ada smngt cmni...semua pnyokong kt malaysia spttny ada smngt cmni,...
Gud Luck brothers, yang berjuang d SSM4 malam ni!!!
gud job geng ultras..keep it up! truskn sokongan anda!
org dalam FAM, ramai org kuat penyokong selangor, tak hairan selangor byk menang piala sbb bantuan diaorang, tgk la piala sumbangsih 2011, sepatut nya juara piala malaysia lawan dengan juara piala FA (kelantan vs n.sembilan)
bila selangor tak dpt piala fa or piala malaysia, syarat dia tiba2 ditukar....
tiba2 juara liga super lwn juara piala mlysia, pelik tp benar..
http://ms.wikipedia.org/wiki/Piala_Sumbangsih
Post a Comment